RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN 1
Fokus : Gerakan berdasarkan permainan nyanyian (singing games)Standard Kandungan :
Pengalaman Muzikal :
a. Menyanyi pelbagai repertoir secara solo atau berkumpulan
b. Membuat gerakan mengikut Muzik
Standard pembelajaran :
a. Menyanyi dengan sebutan huruf vokal a, e, i, o, u yang betul.
b. Membuatkan gerakan berdasarkan lirik dan mud Muzik
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran :
a. Bercerita tentang Si Bongkok Tiga
b. Bersoal jawab dengan murid tentang cerita tersebut.
c. Menyebut lirik mengikut irama lagu.
d. Menyanyi lagu Nenek Si Bongkok Tiga
e. Memainkan permainan Nenek Si Bongkok Tiga sambil menyanyi.
REFLEKSI :
KEKUATAN/KELEBIHAN
Selepas sesi pengajaran dan pembelajaran dijalankan, banyak yang saya pelajari. Sememangnya ada kelebihan dan kekurangan yang saya dapati dalam menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran ini.
Kelebihan utama saya ialah ketegasan dan kelantangan suara. Memang suara saya lantang, tegas dan mempunyai penekanan pada babak-babak tertentu. Sebagaimana yang telah dihuraikan oleh Flanders, percakapan seseorang guru yang boleh mewujudkan interaksi guru dengan murid-muridnya adalah diklasifikasikan di bawah kategori pengaruh tidak langsung.
Ini bermakna, untuk mewujudkan hubungan dua hala, selain menggunakan kaedah menyoal, percakapan seseorang guru harus boleh menggalakkan murid mengemukakan pendapat atau memberi tindak balas mereka seperti dengan menggunakan teknik memuji atau menerima pendapat murid-murid.
Suara yang lantang akan memudahkan murid-murid mendengar arahan pembelajaran dan seterusnya membantu pemahaman mereka terhadap apa yang disampaikan oleh saya. Selain itu, kelantangan suara juga menunjukkan ketegasan dalam menyampaikan sesuatu. Hal ini akan memberi kesan kepada tumpuan dan fokus murid. Murid akan lebih tertumpu kepada penyampaian isi pelajaran tanpa menghiraukan gangguan-gangguan lain. Ketegasan dalam menyampaikan pelajaran juga akan membuatkan murid lebih hormat kepada guru.
Kejelasan memberikan arahan juga merupakan kekuatan yang dikenalpasti dalam penyampaian pelajaran. Kejelasan penyampaian memainkan peranan dalam kefahaman murid. Hal ini sangat berkaitan dengan tindakan susulan murid. Arahan yang diberi jelas, memudahkan murid faham, seterusnya melakukan tugas mengikut arahan dan panduan yang diberikan. Tindakan susulan oleh murid yang tepat menunjukkan kefahaman murid terhadap penyampaian guru berkenaan isi pelajaran.
Selain itu, kelebihan saya juga dari aspek interaksi saya dengan murid-murid. Berdasarkan pemerhatian berkenaan video tersebut, saya mengamalkan kepimpinan demokratik. Perkataan demokratik membawa maksud berkongsi kuasa di antara setiap ahli dalam sesuatu komuniti.
Saya mengamalkan sikap kepimpinan demokratik di mana saya bersedia berkongsi kuasa dengan murid-murid dalam pengurusan segala aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Setiap aktiviti yang dilaksanakan dalam bilik darjah adalah hasil perbincangan di antara murid dengan bantuan dan bimbingan saya sebagai guru mereka.
Murid-murid berinteraksi secara dua hala dengan saya dan mereka juga cergas bertindak balas terhadap segala pengajaran di dalam bilik darjah. Apa yang saya perhatikan, murid-murid juga melibatkan diri secara aktif dan bekerjasama dalam segala aktiviti kumpulan dalam bilik darjah. Suasana sosioekonomi juga dapat dipertingkatkan dan perhubungan saya dengan murid-murid menjadi mesra.
Sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran tersebut, murid-murid tidak takut bertanya atau mengemukakan pendapat mereka. Secara tidak langsung, proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik dan menyeronokkan. Di bawah situasi ini, keberkesanan pembelajaran dapat dipertingkatkan dan semangat kerjasama serta sikap toleransi dapat dipupuk dengan baik.
KEKURANGAN/KELEMAHAN
Kelemahan yang dikenalpasti dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran ini ialah tempat untuk menjalankan aktiviti tersebut tidak sesuai. Hal ini disebabkan terdapatnya gangguan-gangguan dan hal-hal lain yang menyebabkan aktiviti terhad dijalankan.
Berdasarkan pemerhatian saya, bilik Muzik pada masa itu terpaksa digunakan sebagai tempat meletak barangan ataupun alatan bagi mengelakkan musibah banjir. Sekolah saya selalu dilanda banjir dan ini menyebabkan semua barangan dan peralatan sekolah terpaksa dipindahkan ke bilik Muzik memandangkan ianya terletak di kawasan yang tinggi.
Di samping itu, kelemahan saya ialah kurang peka dengan masalah murid-murid. Kebanyakan murid-murid di sekolah ini terdiri daripada keluarga yang miskin tegar di mana mereka tidak mengetahui tentang apakah kemajuan yang berlaku di sekeliling mereka. Sampaikan saya mengherdik mereka jika mereka tidak mengetahui nama sesuatu alat Muzik tersebut. Kadang-kadang saya menghukum atau mendenda mereka jika melakukan kesilapan yang sukar saya maafkan.
LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN
Setiap kelemahan dan kekurangan yang dikesan memerlukan penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti pengajaran pada masa akan datang. Berdasarkan kelemahan dan kekurangan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran ini komunikasi yang berkesan di antara guru dan murid-murid. Sebagaimana yang dihuraikan dalam Model Schramn II, komunikasi yang berkesan hanya berlaku dalam bidang pengalaman yang bertindih di antara sumber (guru) dengan destinasi (murid). Impikasinya ialah keberkesanan aktiviti pengajaran dan pembelajaran amat bergantung kepada kebolehan murid mentafsir mesej guru yang disampaikan. Jadi, ini bermakna komunikasi berkesan hanya berlaku apabila guru menyampaikan pelajaran dengan cara yang mudah difahami oleh murid, iaitu berdasarkan kebolehan murid yang berkesan.
Sehubungan itu, untuk komunikasi yang berkesan, guru hendaklah menggunakan suara yang lantang dan perkataan-perkataan yang boleh difahami oleh murid semasa menyampaikan pelajaran. Jadi, jika kita sebagai guru mengikuti strategi, teknik ataupun kaedah yang betul dalam pengajaran pembelajaran, tidak mustahil objektif pelajaran pada hari tersebut akan tercapai. Kita akan berupaya melahirkan murid-murid yang cemerlang, gemilang dan terbilang di persada dunia.
RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN 2
Fokus : Mencipta corak iramaStandard Kandungan :
Pengalaman Muzikal :
a. Menyanyi pelbagai repertoir secara solo atau berkumpulan
b. Memainkan perkusi secara solo atau berkumpulan daripada pelbagai repertoir.
Penghasilan Muzik : Menghasilkan idea muzikal kreatif.
Standard pembelajaran :
a. Menyanyi dengan postur yang betul (postur duduk, postur berdiri)
b. Memainkan perkusi mengikut detik (postur, cara memainkan)
c. Mencipta corak irama mudah
Aktiviti pengajaran dan pembelajaran :
a. Menyanyi dengan postur yang betul.
b. Mengajuk corak irama yang diberi oleh guru dengan sebutan yang betul.
c. Memainkan alat perkusi dengan bimbingan guru.
REFLEKSI :
KEKUATAN / KELEBIHAN
Memang tidak dinafikan bahawa bahan bantu mengajar dapat menarik minat murid-murid mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran dari mula hingga akhir bagi sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Dengan menunjukkan video ini, murid-murid dapat tahu tentang bagaimana menyanyi dengan postur yang betul . Postur duduk dan postur berdiri ketika menyanyi adalah penting untuk keselesaan dan cara sebutan yang betul. Menggunakan bahan bantu mengajar lebih membuatkan murid-murid faham tentang topik yang diajar, apatah lagi jika ilustrasi bahan yang digunakan cantik dan menarik.KELEMAHAN / KEKURANGAN
Walaupun begitu, murid-murid saya masih lagi belum mencapai 100% dalam bab ini kerana mereka masih ada yang bermain, duduk dan sebagainya ketika sesi pengajaran dan pembelajaran dijlankan. Begitu juga ketika memainkan perkusi mengikut detik dan mencipta corak irama mudah. Murid-murid bergurau senda malah ada yang mengganggu kawan dengan alat perkusi yang mereka pegang. Untuk mengatasi masalah ini, saya perlu lebih tegas mengatasi mereka dengan memberi hukuman ataupun dendaan yang sesuai dengan mereka murid-murid Tahun 2. Namun, apa yang saya perhatikan, murid-murid berasa seronok sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran walaupun terpaksa tegas dengan mereka.LANGKAH MENGATASI / PENAMBAHBAIKAN
Untuk mengatasi masalah ini, saya perlu lebih tegas lagi dengan murid-murid. Saya akan memberi denda yang bersesuaian dengan kesilapan yang mereka lakukan. Jika cara saya betul, nescaya mereka dapat mencapai objektif pembelajaran yang saya lakukan pada hari tersebut.Salah satu video murid-murid saya iaitu murid-murid Tahun 2 SK NG Beguang yang melakukan pergerakan mengikut Muzik.
No comments:
Post a Comment